Selawat dan salam keatas junjungan Rasulullah SAW.
Siapa kita semalam, hari ini, dan esok, boleh berubah-ubah. Semuanya dengan takdir Allah SWT. Jika suatu ketika dahulu kita insan yang paling hina, tidak mustahil esok lusa kita insan paling disayangiNYA. Kerana hidayah itu miliknya. Buat dirimu yang sedang membaca coretan ini, moga Allah menerbitkan sinar keinsafan yang istiqamah buat mu.
Hawa, bagaimana menjaga cinta?
Setiap yang bercinta sebelum bernikah, sedang berdusta. Sedang tidak menjadi dirinya yang sebenar. Jika bercinta walaupun bersama orang yang sama, 20 tahun sekali pun, kita tak kenal dia, kita hanya kenal lakonan dia. Lihatlah bagaimana cintanya ditawarkan. Kalau dia menawarkan cinta kepada kita, dengan memuji kecantikan kita, jangan terkejut jika dia menjadi suami nanti, dia menjadi seorang yang mata keranjang.
Hawa, tinggalkan apa yang kita tidak ingin berlaku kepada kita kelak. Mulakan dengan diri kita untuk dapat apa yang kita mahu. Contohnya, jika kita tidak inginkan suami kita nanti sibuk melayan laman sosial 24 jam, jadi kita kena tinggalkan perkara itu. Jika kita tidak mahu suami yang menaburkan kata kata romantik kepada berpuluh wanita selain kita, kita kena berhenti melayan lelaki dari sekarang. Jika kita mahu suami yang setia, belajarlah untuk setia mencintai Allah terlebih dahulu,
Hawa, hati ini milik Allah. Dan Janji Allah itu pasti. Dia tidak kejam dan tidak pernah berlaku kejam kepada hambanya. Benar, kadang cinta dan rindu itu datang tanpa kita pinta. termasuklah diriku yang lemah ini. Bagaimana mengawal rasa itu? Jauhilah dirinya, jika benar kita mencintainya kerana Allah. Jika kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan memberikan yang lebih baik untuk kita.
Sesungguhnya jihad paling besar adalah menahan nafsu cinta itu. Sabar, dan letak kepercayaanmu kepada ya Rabb. Ingat hawa, hati dia juga milik Allah. Berdoalah agar Allah melembutkan hatinya, agar suatu hari nanti dia akan sedar bahawa dia seharusnya mencintaimu kerana Allah.
Hawa, bersabarlah. Kerana janji Allah itu pasti.